SPA isi kekosongan jawatan 26,000 kakitangan bersara setiap tahun

 KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) perlu mengisi kekosongan perjawatan anggaran kira-kira 26,000 kakitangan awam pelbagai jawatan yang bersara setiap tahun bagi memastikan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat tidak terjejas.

Jumlah kekosongan itu tidak termasuk purata tambahan kira-kira 300 hingga 500 penjawat awam yang dibuang kerja setahun susulan tindakan tatatertib dikenakan terhadap mereka disebabkan pelbagai kesalahan selepas proses siasatan dilakukan.

Susulan itu, Pengerusi SPA, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata anggapan kononnya jumlah 1.6 juta penjawat awam yang ada di negara ini melebihi keperluan adalah tidak benar disebabkan faktor berbeza berbanding negara lain.

Ini kerana, katanya, tafsiran penjawat awam berbeza di beberapa negara seperti Amerika Syarikat (AS), Australia dan New Zealand yang mengkategorikan tentera, polis, doktor, jururawat, guru dan kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) bukan sebagai penjawat awam.

Beliau berkata, pada masa ini, nisbah seorang penjawat awam di Malaysia perlu berkhidmat kepada 19 penduduk, manakala di United Kingdom pula ialah 1:18 dan Amerika Syarikat (AS) 1:14, manakala seorang penjawat awam di Australia pula bagi setiap 12 penduduk.

"Sebab itu, jika dibandingkan saiz penjawat awam di Malaysia dengan AS, Australia dan New Zealand, kita dilihat mempunyai jumlah agak ramai kerana kita memasukkan semua perjawatan itu dalam kategori perkhidmatan awam, sedangkan di negara terbabit, ia diasingkan.

"Berbanding saiz penjawat awam di Malaysia dengan beberapa negara di Asean seperti Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam pula, kita dilihat mempunyai jumlah besar, jadi kaedah bersesuaian ialah merasionalisasi perjawatan supaya lebih kejat dan mengoptimumkan perkhidmatan awam supaya lebih bersesuaian serta bertepatan.

"Perancangan mengisi kekosongan jawatan bagi kira-kira 25,000 hingga 26,000 kakitangan yang bersara setahun perlu dilakukan segera SPA bersesuaian keperluan kementerian, jabatan dan agensi," katanya kepada BH, hari ini.

Zainal Rahim berkata, selain perjawatan biasa, SPA juga perlu mengisi perjawatan baharu bagi memenuhi keperluan dasar baharu kerajaan seperti Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) yang memberi tumpuan kepada bidang membabitkan internet of things (IOT), teknologi nano, robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Katanya, dalam hal ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan sentiasa melakukan kawalan bagi pengwujudan jawatan dan SPA pula membuat kawalan dari segi pengambilan.

"Lantikan secara kontrak juga satu kaedah pengambilan dipraktikkan ketika ini bagi memberi jaminan keperluan kakitangan oleh kementerian, jabatan dan agensi dipenuhi.

"Mereka ini boleh diserapkan ke jawatan tetap jika ada kekosongan atau ada perjawatan yang diluluskan JPA," katanya.

Beliau berkata, pelantikan ke jawatan tetap atau kontrak adalah sejajar dengan perancangan pembangunan fizikal penyediaan sumber manusia diperlukan jika kerajaan mahu membuka lebih perkhidmatan tambahan kepada rakyat seperti sekolah, hospital, balai bomba dan sebagainya.

"Paling penting penjawat awam dilantik perlu berkhidmat dengan jujur, berdedikasi, komited dan cemerlang bagi memastikan perkhidmatan awam dilunaskan kepada rakyat cekap dan berkesan," katanya

Kredit : BH