Pencarum ada baki cukup untuk pengeluaran KWSP 2.0 bersasar

 KUALA LUMPUR: Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berhasrat membuat pengeluaran akaun itu sekali lagi secara bersasar, mempunyai baki akaun mencukupi untuk membuat pengeluaran.

Ia berdasarkan kajian dijalankan Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), yang mendapati 79.6 peratus daripada 136,137 pencarum KWSP memiliki baki Akaun Satu lebih RM10,000, manakala selebihnya kurang RM10,000.

Presidennya, Azmi Mohd Tahir, berkata kajian itu dijalankan selama 12 hari bermula 20 Disember lalu, bagi menyediakan data sokongan tambahan untuk tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar.

"Daripada kaji selidik ini, ternyata pencarum KWSP yang terdesak memerlukan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar, mempunyai jumlah baki mencukupi untuk membuat pengeluaran," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, laporan kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur pada Januari 2023, pasti akan memberi kesan lebih teruk terhadap rakyat.

"PGIRM percaya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, cakna dan prihatin terhadap suara serta kesusahan rakyat.

"Justeru, kami berharap diberi peluang bertemu Perdana Menteri untuk memberikan penjelasan terperinci mengenai tuntutan pengeluaran KWSP 2.0 secara bersasar ini, dalam masa terdekat.

"Rakyat khususnya pencarum, sudah teruk terhimpit dengan kesusahan. Malah, terdapat segelintir daripada mereka yang sudah dan bercadang mengambil 'jalan pintas' untuk menyelesaikan masalah," katanya.

Sumber BH.