Permohonan bergerak dari kampung mulai 25 April

KUALA LUMPUR: Rakyat yang berada di kampung dan ingin pulang ke kediaman masing-masing perlu membuat permohonan dan pendaftaran kepada polis bermula 25 April ini.

Permohonan bergerak dari kampung mulai 25 April

Info :BH

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata permohonan itu boleh dibuat melalui dalam talian atau di balai polis berhampiran.

Bagaimanapun, kebenaran untuk membenarkan mereka pulang masih di peringkat kajian dengan nasihat oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

"Mereka boleh mula melaporkan kepada polis melalui online, iaitu melalui aplikasi Gerak Malaysia yang mana ini kolaborasi antara polis dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mulai 25 April nanti.



"Bagi mereka yang tiada kemudahan telefon pintar dan sebagainya, permohonan boleh dibuat di balai polis berhampiran namun perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan di balai polis,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu setiap permohonan dan jika dibenarkan, pergerakan dijangka bermula 1 Mei ini.


Katanya, setiap keluarga wajib mendaftar dan membuat permohonan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat perancangan.

"Mereka yang mendaftar perlu mengemukakan nama, berapa jumlah ahli keluarga dan lokasi tempat untuk ditujui, dari kampung mana, zon merah atau hijau dan sebagainya," katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pihaknya sedia maklum ada kalangan rakyat yang berada di kampung berhasrat pulang ke kediaman masing-masing di bandar termasuk Kuala Lumpur kerana sudah terlalu lama meninggalkan rumah.

"Seperti yang saya sebutkan, sebelum PKP ramai dalam kalangan rakyat kita berebut untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Mereka sudah berada di kampung lebih sebulan.

"Ramai yang mengadu tiada pakaian nak pakai kerana berada terlalu lama di kampung. Kita faham keinginan mereka untuk pulang ke tempat kerja. Ada yang bimbang rumah mereka dipecah masuk.

"Sesetengah mereka pulang bersendirian dan anak ditinggalkan di rumah di Kuala Lumpur dan terpisah daripada keluarga selama sebulan ini," katanya.

Ismail Sabri berkata, berbanding pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang sudah diketahui jumlahnya, kerajaan tiada maklumat berhubung angka mereka yang pulang ke kampung.


Muat turun dan mohon segera bermula 25 April :

https://play.google.com/store/apps/details?id=com.gov.mcmc.projectcatur